JUN 2024

Sarawak Tidak Ambil Hak Petronas


KUCHING: Kerajaan Sarawak menegaskan tidak mengambil hak syarikat Petroliam Malaysia (PETRONAS) dalam industri gas dan minyak di negeri ini.

Menurut Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg, PETRONAS bagaimanapun kekal sebagai rakan kongsi Sarawak melalui kerjasama kukuh bersama Petroleum Sarawak (PETROS).

Katanya, Kerajaan Sarawak perlu beroperasi mengikut parameter undang-undang dan PETRONAS memahami perkara ini.

“Apabila saya melakukan bahagian dalam industri minyak dan gas, saya juga melihat hak yang kita ada dalam undang-undang kita.

"Kami perlu beroperasi mengikut parameter undang-undang dan PETRONAS memahami perkara ini," katanya selepas melancarkan Kemudahan Pemasangan dan Pengedaran Elektroliser Sarawak (SEA-DF) di Taman Perindustrian Demak Laut di sini, semalam.

Jelasnya, sinergi antara Perbadanan Kemajuan Ekonomi Sarawak (SEDC) dan Petronas melalui penubuhan bersama fasiliti kilang Kemudahan Pemasangan dan Pengedaran Elektrolizer Sarawak (SEA-DF) juga menunjukkan keberkesanan kerjasama mereka.

“Ia juga berfungsi sebagai tempat latihan untuk rakyat Sarawak tempatan, dengan lapan individu kini dilatih untuk menjadi jurutera dalam fasiliti ini," ujarnya lagi.

Pada majlis itu, beliau menyaksikan pertukaran beberapa dokumen berhubung pembangunan tenaga baharu di Sarawak dan Malaysia amnya.

Ia melibatkan memorandum persefahaman (MoU) antara SEDC Energy dan UOB Malaysia untuk menyokong pertumbuhan ekonomi Sarawak yang mampan, MoU antara SEDC Energy dan ILS untuk penyepaduan trak sel bahan api hidrogen SEDC Energy ke dalam operasi logistik ILS dan perjanjian bekalan antara SEDC Energy dan Hydrexia untuk bekalan hidrogen hijau untuk eksport dan pasaran domestik.

Dokumen lain termasuk surat aku janji untuk membekalkan electrolyser antara Hydrexia, LHSB dan Peric, ‘Letter Of Intent’ (LOI) untuk potensi kerjasama untuk Solar PV dan teknologi pengeluaran hidrogen antara SEDC Energy, LHSB dan Solarvest, serta semua LOI untuk potensi kerjasama untuk pembangunan keupayaan kimpalan dan latihan industri antara LHSB dan Awisar.